Berita

PM Ismail Sabri ucap Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2022

- Diterbit 1 Februari 2022 3:59 AM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2022, yang disambut hari ini.

Menerusi catatan di Facebook beliau berkata Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bukan sahaja mercu tanda kejayaan negara, tetapi merupakan wilayah yang indah, unik dengan kepelbagaian serta menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia.

“Malah pada hari ini juga genap usia Kuala Lumpur yang ke-50 diisytiharkan sebagai bandar raya pertama di Malaysia.

“Semarakkan rasa cinta dan sayang seluruh Keluarga Malaysia di Wilayah Persekutuan dan di seluruh Malaysia amnya, dalam melangkah ke hadapan ke arah negara maju dan sejahtera!” katanya.

Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Feb setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-18, sejak ia diperkenalkan pada 2004.

Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1974, manakala Labuan pada 1984 dan Putrajaya pada 2001. BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas