Berita

PM ikhlas santuni rakyat

ANWAR menyantuni rakyat pada sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Putrajaya, baru-baru ini.
- Diterbit 6 September 2024 10:20 AM MYT

ADA sahaja andaian negatif yang dilemparkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan suka melaga-lagakan.

Terbaharu fitnah berniat jahat itu direka untuk memburukkan imej Anwar yang dikatakan berasa ‘tergugat’ apabila Tun M hadir dan beramah mesra dengan orang ramai pada sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Putrajaya, baru-baru ini.

Sebenarnya banyak sahaja video Anwar yang tular sedang menyantuni rakyat. Malah, sikapnya yang sanggup turun kereta semata-mata mahu bersalam dengan rakyat itu harus dipuji dan jarang dilakukan para pemimpin lain.

Kebiasaannya pemimpin lain lebih gemar melambai tangan dari dalam kereta dan tidak sesekali turun kereta dan tidak sanggup berpanas demi rakyat.

Anwar tidak perlu merancang pergerakan kamera atau video semata-mata mahu memperlihatkan beliau seorang yang berjiwa rakyat.

Beliau tidak perlukan publisiti yang sengaja dirancang kerana apa yang dilakukannya ikhlas daripada hati dan tidak mengharapkan pujian.

Satu sikap yang para pemimpin lain harus contohi. Anwar turun bersalam sebagai tanda merakamkan penghargaan tertinggi dan syabas kepada ratusan ribu rakyat Malaysia pelbagai kaum yang sanggup menunggu seawal pagi demi mahu menyemarakkan sambutan kemerdekaan tahun ini.

Perdana Menteri berkata sambutan tahun ini penting dalam mencetus inspirasi untuk bersama memaknai kemerdekaan yang dinikmati sejak 67 tahun lalu.

“Saya dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir berhimpun di Dataran Putrajaya bersama ratusan ribu rakyat Malaysia dari seluruh negara untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67.

“Bangga melihat penyertaan penuh bersemangat dan bertenaga daripada pasukan keselamatan, badan penguat kuasa, agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta serta anak-anak pelajar dalam perarakan kemerdekaan ini,” katanya menerusi perkongsian pada akaun Facebook baru-baru ini.

Anwar dalam masa sama turut menyatakan rasa kagum melihat pelbagai persembahan yang memukau terutamanya pertunjukan aset udara dan persembahan Malaysia MADANI.

Katanya, Malaysia MADANI Jiwa Merdeka mengangkat tema integriti dengan mengetengahkan perjuangan membersihkan negara daripada rasuah.

Tema ini menunjukkan Anwar memang memperjuangkan habis-habisan gejala rasuah dan buktinya dalam persembahan semasa sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini.

“Persembahan dan sorakan menakjubkan daripada sekitar 2,000 anak-anak pelajar yang memenuhi pasukan Teres Grafik Manusia juga mencuri tumpuan sepanjang perarakan ini,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas