Berita

PM gesa segera laksana penambahbaikan Draf PSKL 2040

KADAR inflasi negara telah mencatatkan rekod lebih rendah sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk pemerintahan negara sejak November tahun lalu. - Gambar hiasan
- Diterbit 21 Julai 2023 12:00 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ­menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan segera ­terhadap ­penambahbaikan Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) serta mewartakannya sebelum penghujung tahun ini.

Beliau berkata kerajaan ­komited memastikan penyediaan PSKL 2040 bersifat inklusif dan komprehensif kepada rakyat selaras dengan ­visi Kuala Lumpur, Bandar Untuk Semua.

“Saya ambil maklum ­bahawa ­pihak DBKL telah menerima ­sebanyak 639 pandangan ­daripada 425 peserta yang hadir dalam perlanjutan ­sesi libat urus yang ­diadakan pada 18 hingga 26 Mei lalu.

“Secara dasarnya, saya berpuas hati dengan laporan sesi libat urus yang dibentangkan.

“Namun pihak DBKL ­harus ­memberi tumpuan dengan ­mengekalkan kawasan rizab hutan dan lapang bagi ­memastikan matlamat menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya hijau, ­sihat dan rancak ­tercapai,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ­ketika mempengerusikan taklimat ­bagi mendengar dan meneliti laporan sesi libat urus pindaan Draf PSKL 2040 bersama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan DBKL ­pada Isnin (17 Julai).

Dalam pada itu, Anwar turut bersetuju agar perumahan mampu milik diperluaskan bagi menampung permintaan warga kota khususnya terhadap jenis perumahan tersebut.

“Cadangan ini adalah ­sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan perumahan ­mampu milik melalui konsep Kejiranan Madani di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” ujar beliau.

Terdahulu, sesi libat urus Pindaan Draf PSKL 2040 adalah usaha DBKL untuk ­mendapatkan pandangan awam di ­samping memberi ­pemahaman dan ­penjelasan secara lebih ­meluas berkenaan pindaan ­terkini draf tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas