SEAKAN menjadi satu trend sejak akhir-akhir ini apabila orang luar bertindak menghukum individu yang terlibat dalam sesuatu kes mendahului pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas.
Malah mereka ini seolah-olah lebih tahu apa yang terjadi sehinggakan mampu mempengaruhi pengguna media sosial dengan mengambil kesempatan menyebarkan kebencian.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dikaitkan dengan isu pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) yang diserang oleh seorang pegawai pengiring sekitar Mei lalu.
Ada sahaja pihak yang tidak bertanggungjawab memetik nama Anwar dengan menuduh beliau cuba menutup kes tersebut sekali gus tidak mempedulikan nasib pemandu OKU tersebut.
Dakwaan yang tidak berasas tersebut mengatakan ia dilakukan demi menjaga hubungan baik beliau dengan seorang individu bertaraf kenamaan.
Memetik kenyataan Anwar terhadap perkara itu, beliau berharap semua pihak bersabar dan jangan bersifat menghukum sebelum siasatan selesai atau sebelum mengetahui tindakan selanjutnya daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Tegas beliau biarpun negara ini berpegang kepada hukum, tetapi semua pihak tidak boleh sewenang-wenangnya membuat hukuman sendiri dan mendahului pihak berkuasa yang berkaitan.
“Saya tak setuju, prinsip negara ini negara hukum betul, tetapi jangan kita menghukum berdasarkan khabar angin atau persepsi. Ada bukti jelas, kes ini, siapa kata tutup? Kadang-kadang proses ambil masa, tapi ini memang menjadi perhatian.
“Saya secara peribadi mengambil tahu tentang hal demikian sama ada kes melibatkan OKU atau orang biasa tetapi saya nak ingatkan di sini kadang-kadang kita menghukum sebelum siasatan atau sebelum tahu keputusan siasatan yang mesti dirujuk pada Peguam Negara, yang akhirnya hendak putuskan dakwa atau tidak,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam baru-baru ini.
Pada awal September, media melaporkan hampir 200 individu mewakili kumpulan OKU aktivis dan badan bukan kerajaan, serta pekerja e-hailing telah menggesa Perdana Menteri untuk campur tangan isu tersebut selepas mendakwa tiada apa-apa tindakan terhadap pihak yang mengarahkan pemandu tersebut menarik balik laporannya.
Wakil kumpulan berkenaan memberitahu media, mereka telah menyerahkan memorandum kepada seorang pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri yang berkata akan memastikan ia mendapat perhatian Anwar.
Individu OKU yang berusia 48 tahun didakwa telah dipukul seorang pegawai juruiring kenamaan di lobi salah sebuah hotel di ibu negara pada Mei lalu atas alasan dia telah menghalang laluan rombongan tersebut.
Walau bagaimanapun kita tunggu sahaja pihak yang berkaitan menjalankan tugas. Tidak perlu masuk campur kerana perkara ini masih lagi dalam siasatan. Jadi, sila hormati pihak berwajib. – WILAYAHKU