PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangannya terhadap kadar kemalangan yang tinggi terutama dalam kalangan pengguna motosikal.
Beliau berkata kebimbangannya itu turut senada dengan aktivis sosial berpengaruh yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye dalam pertemuan mereka di Pejabat Perdana Menteri semalam.
Menurut Anwar kadar kemalangan itu berkait rapat dengan faktor kelemahan penguatkuasaan undang-undang jalan raya dan isu penyelenggaraan jalan raya.
“Antara intipati pertemuan kami adalah mengenai isu keselamatan jalan raya dan keselamatan di tempat kerja.
“Saya berharap pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti ini dan lain-lain lagi, akan terus memberi khidmat kepada komuniti dalam membina budaya keselamatan yang mampan.
“(NGO) itu turut (diharap) memainkan tanggungjawab dalam menyampaikan misi dan hasrat kerajaan khususnya kesedaran tentang Malaysia MADANI,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat merupakan sebuah NGO yang mempromosikan kempen kesedaran, keselamatan dan mendidik masyarakat dalam membentuk budaya yang selamat.
NGO itu turut membentuk budaya sihat dan mewujudkan suasana kerja yang kondusif. – WILAYAHKU