PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan bantuan wang tunai dan bakul makanan kepada Luthfi Hasyim, seorang penghidap kencing manis kronik yang dalam masa sama berjuang membesarkan tiga anaknya.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, yang menziarahi Luthfi di kediamannya di Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang.
“Beliau menghidap kencing manis kronik sehingga menyebabkan kakinya terpaksa dipotong. Namun di sebalik ujian itu, beliau tetap tabah menyempurnakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga,” kata Ahmad Farhan menerusi catatan di Facebook yang turut dikongsi oleh Perdana Menteri.
Beliau berkata ketabahan Luthfi menjadi peringatan bahawa meskipun diuji dengan cabaran besar, manusia tetap mampu berdiri teguh demi keluarga.
“Luthfi, seorang peniaga kedai runcit, menetap bersama isteri dan tiga anaknya.
“Semoga Allah permudahkan urusan beliau sekeluarga,” katanya. – WILAYAHKU