Berita

PM beri jaminan rasionalisasi subsidi RON95 hanya untuk golongan kaya, warga asing

- Diterbit 28 Mac 2025 4:15 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 tidak akan memberi kesan kepada majoriti rakyat, sebaliknya hanya melibatkan golongan berpendapatan tinggi dan warga asing.

Beliau menjelaskan bahawa mekanisme yang dirangka memastikan sekitar 85 hingga 90 peratus rakyat Malaysia tidak terkesan dengan langkah tersebut bagi separuh pertama tahun ini.

“Saya tak fikir rakyat biasa perlu runsing kerana 85 hingga 90 peratus tidak terkesan dengan apa jua kaedah rasionalisasi subsidi RON95 yang diperkenalkan.

“Jangan dengar fitnah, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini. Seperti kenaikan tarif elektrik, ia hanya melibatkan orang kaya, begitu juga dengan RON95,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Raja Tun Uda, di sini, hari ini.

Menurut Anwar, individu berpendapatan tinggi seperti mereka yang berpendapatan RM50,000 sebulan wajar membayar harga bahan api tanpa subsidi.

Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 kepada rakyat dalam masa terdekat.

Beliau turut memaklumkan bahawa sistem itu akan menggunakan pengenalan diri melalui MyKad, dengan pelaksanaan dua peringkat harga petrol RON95 iaitu harga bersubsidi dan harga tanpa subsidi.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 sebelum ini, kerajaan menganggarkan sekitar RM12 bilion diperuntukkan untuk subsidi petrol RON95 yang disasarkan kepada 85 peratus rakyat Malaysia, selaras dengan langkah rasionalisasi subsidi bagi memastikan ketirisan dapat dikawal.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas