PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memperkemaskan penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri bagi membantu mangsa banjir di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata keutamaan masa ini adalah kebajikan mangsa banjir dan keselamatan penduduk di kawasan terkesan.
“Berduka cita menerima perkhabaran situasi banjir yang semakin buruk di Sabah dan Sarawak.
“Saya zahirkan simpati pada ribuan saudara kita di sana yang terkesan dengan bencana ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurut Anwar, Jabatan Pendidikan Negeri turut diarah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas, dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan kondusif.
Beliau berkata Skuad Ihsan MADANI akan turun membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara serta bersiap siaga bagi penugasan pasca banjir.
“Moga semua mangsa yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda,” katanya. – WILAYAHKU