Berita

PM arah Khazanah lakukan audit dalaman, siasat kerugian pelaburan

- Diterbit 2 November 2024 9:20 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan syarikat pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Berhad ,(Khazanah) menyiasat kerugian pelaburan seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Katanya, selaku Pengerusi, beliau telah mengarahkan Khazanah untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta baru-baru ini.

“Arahan tegas ini adalah sebagai memaknai pengumuman saya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik.

“Arahan tersebut memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing,” katanya dalam ciapan di ruangan X hari ini.

Terdahulu, dua entiti pelaburan negara, Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad mengumumkan kerugian pelaburan dalam syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd. sejak tahun 2018 dengan nilai RM47 juta, namun kedua-dua syarikat tersebut telah menjual pegangan dalam platform e-dagang syarikat berkenaan dengan harga RM3.1 juta.

Ekoran daripada kemelut berkenaan, pasangan pengasas syarikat, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar dalam satu kenyataan semalam memohon maaf dan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang, FashionValet ekoran masalah pelaburan membabitkan dana awam.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas