MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Perpaduan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berbincang dengan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST).
Beliau berkata ini bagi mengelakkan salah faham isu penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di semua jabatan kerajaan.
“Pertemuan itu bagi mendengar pandangan MCCBCHST dan menyatakan pendirian kerajaan.
“Sebaik mungkin isu-isu ini diurus dengan baik tanpa salah faham terutama bila penjelasan telah pun dibuat lebih kurang tiga minggu lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media minggu Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi.
Semalam, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) membantah cadangan menempatkan pegawai JAKIM di semua jabatan kerajaan.
MCCBCHST mendakwa tindakan itu berpotensi menjejaskan jaminan perlembagaan termasuk hak asasi yang dilindungi oleh Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas perlembagaan.
Bagaimanapun, Na’im menjelaskan tujuan pegawai JAKIM ditempatkan hanya untuk mengendalikan program keagamaan.
Sementara itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata isu penempatan pegawai JAKIM di semua jabatan kerajaan telah dijawab pihak JAKIM pada 7 Ogos lalu.
Beliau berkata bagaimanapun MCCBCHST telah mengeluarkan kenyataan baru dan telah menimbulkan satu keadaan yang dianggap berlaku salah faham.
Menurut, Fahmi dakwaan JAKIM terlibat dalam isu membuat dasar dalam kementerian yang ditempatkan itu terlalu jauh dari sasaran dan matlamat asal.
Beliau berkata pegawai JAKIM itu ditempatkan di jabatan kerajaan bagi membantu terutama dari segi integriti atau pengisian kerohanian dalam kementerian tersebut.
“Bukan untuk memberi pandangan dalam soal dasar,” katanya. – WILAYAHKU