Berita

PM Anwar lawat UK atas jemputan Sir Keir Starmer

- Diterbit 15 Januari 2025 10:37 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke United Kingdom (UK) dari 14 hingga 19 Januari ini selepas menghadiri Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW).

Lawatan yang diadakan atas jemputan rakan sejawatnya, Sir Keir Starmer merupakan lawatan pertama beliau ke negara tersebut sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada November 2022.

Menurut Wisma Putra, beliau akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Semasa lawatan tersebut, Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Sir Keir Starmer pada 15 Januari. Kedua-dua pemimpin akan menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-UK serta membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama, antara lain, dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, perubahan iklim dan tenaga boleh baharu, agrikomoditi serta pelancongan.

“Kedua-dua Perdana Menteri turut dijangka menyentuh isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama serta bertukar-tukar pandangan mengenai Hubungan Dialog ASEAN-UK,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan pada Selasa.

Wisma Putra menambah, selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri akan mengetengahkan keutamaan Malaysia dan usaha ASEAN dalam menangani cabaran serantau dan global.

Katanya, program Perdana Menteri sepanjang lawatan kerja ini turut merangkumi pertemuan dengan Speaker of the House of Commons, Sir Lindsay Hoyle; merasmikan dan menyampaikan ucaptama di acara InvestMalaysia and Fireside Talk; serta mengadakan mesyuarat meja bulat dan sesi perbincangan one-on-one bersama ketua-ketua industri.

Beliau juga katanya, akan merasmikan Auditorium Malaysia di London School of Economics (LSE), diikuti dengan syarahan khas serta sesi bersama diaspora Malaysia di London.

“Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Jawatankuasa Bersama Ekonomi dan Perdagangan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan UK dan lain-lain Mekanisme Sokongan (MUKJETCO) akan ditandatangani semasa lawatan ini.

“Lawatan kerja Perdana Menteri ke UK mencerminkan hubungan erat serta menyediakan peluang untuk memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua negara demi manfaat bersama,” jelasnya.

Perdagangan dan pelaburan kekal sebagai tunjang utama hubungan Malaysia-UK.

Dari Januari hingga November 2024, UK merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Eropah dengan jumlah dagangan bernilai RM15.30 bilion (AS$3.34 bilion).

Jumlah eksport direkodkan sebanyak RM7.83 bilion (AS$1.71 bilion) manakala jumlah import adalah RM7.47 bilion (AS$1.63 bilion) bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.

Pada 19 Januari 2025, Perdana Menteri akan berlepas ke Brussels untuk lawatan kerja. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas