Berita

PM Anwar bertemu dengan tiga syarikat utama India

Foto: BERNAMA
- Diterbit 21 Ogos 2024 3:31 PM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan wakil daripada tiga syarikat utama India iaitu Tata Consultancy Services (TCS), Emami Agrotech Ltd dan HCL Tech, di sini.

TCS, syarikat perkhidmatan teknologi maklumat (IT), perundingan dan penyelesaian perniagaan diwakili presidennya (bahagian perniagaan dan akaun strategik, pasaran pertumbuhan) Ujjwal Mathur.

Emami Agrotech Ltd, yang merupakan pemain utama dalam sektor minyak boleh dimakan dan produk makanan India diketuai pengarah eksekutifnya Manush Goenka manakala HCL Technologies, syarikat perkhidmatan IT dan perundingan terkemuka dunia diwakili pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif globalnya C. Vijaykumar.

Turut hadir semasa mesyuarat itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Digital Gobind Singh Deo; Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong; dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Muzafar Shah Mustafa.

Susulan mesyuarat tersebut, Anwar, yang juga Menteri Kewangan dijadualkan menghadiri sesi meja bulat dengan pemimpin industri India, diikuti seterusnya mesyuarat dengan J.P. Nadda, presiden parti pemerintah India, BJP. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas