Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

PM Anwar ajak tonton pementasan teater Hadji Murat

- Diterbit 24 Jun 2024 11:49 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak orang ramai untuk menonton pementasa teater berjudul Hadji Murat yang akan mula dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) bermula 26 Jun.

Perdana Menteri berkata, teater tersebut adalah berdasarkan dari novella penting dan juga yang terakhir karya sasterawan dan novelis ulung Rusia Leo Tolstoy.

“Tolstoy yang pernah dicalonkan sebagai pemenang hadiah nobel itu turut terkenal dengan karya besarnya yang lain seperti ‘War and Peace’ dan ‘Anna Karenina’ yang ditulis sekitar 1896-1904 sehingga beliau meninggal dunia.

“Pengkritik kesusasteraan Amerika Harold Bloom tatkala membaca ‘Hadji Murat’ pernah menukilkan, “…my personal touchstone for the sublime of prose fiction, to me the best story in the world, or at least the best that I have ever read.”

” Komentarnya itu lantas telah mencipta semacam ribut di dunia kesusasteraan tatkala beliau meletakkan ‘Hadji Murat’ lebih tinggi ketimbang karya Tolstoy lainnya yakni ‘Anna Karenina’ dan ‘War and Peace’,”katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri turut menghimbau saat mengajar di Amerika Syarikat, ramai yang membicarakan mengenai gejala Islamofobia dan terorisme pasca serangan 9/11.

“Saya membawa kisah novella ‘Hadji Murat’ yang mengisahkan penaklukan empayar Rusia ke atas warga Muslim di wilayah Dagestan, Kaukasus Utara.

“Hadji Murat adalah sosok yang dekat dan paling kanan kepada Imam Shamil, ketua pejuang dan watak penting di tampuk kepemimpinan wilayah tersebut. Mereka berjuang seiring melawan kerakusan empayar Rusia yang dikepalai Tsar Nicholas I, dan berlakunya pertembungan antara pejuang dan penjajah kerana ingin membebaskan keluarga tercinta,” katanya.

Ujar beliau, watak Hadji Murat adalah watak yang tersepit di antara dua kekuasaan yang zalim, dan bertindak semata dalam menyelamatkan keluarganya.

“Karya ini ternyata mengesankan tatkala ia menekankan betapa perang dan kekuasaan yang ganas hanya melahirkan ramai watak yang jahat dan khianat,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, Tolstoy berjaya mewujudkan rasa dan sikap yang simpatetik melalui karyanya itu, apalagi kepada seorang pejuang dan wira umat Islam yakni Hadji Murat, terutamanya di saat dunia dirundung berat akan kezaliman dan budaya politik pemerasan (‘politics of dispossession’) yang kini berterusan di Palestin.

Dalam pada itu, Anwar turut mengajak orang ramai untuk sama hadir, ikuti dan hayati pementasan teater ‘Hadji Murat’ bermula 26 Jun sehingga 29 Jun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas