Berita

PM Anwar adakan lawatan rasmi ke Bahrain

- Diterbit 18 Februari 2025 11:45 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain bagi mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Menurut Wisma Putra, lawatan sehingga 20 Februari ini atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Putera Mahkota Salman bin Hamad Al Khalifa.

“Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke Bahrain, sekali gus mempamerkan komitmen Malaysia mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

“Semasa lawatan ini, Perdana Menteri akan disambut dalam Majlis Sambutan Rasmi dan diikuti kunjungan menghadap ke atas Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Wisma Putra menambah, kedua-dua pemimpin akan membincangkan perkembangan dan kemajuan hubungan Malaysia-Bahrain, dengan tumpuan kepada pengukuhan dan peningkatan kerjasama dalam sektor utama yang berkepentingan bersama, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, keterjaminan makanan, perbankan Islam, industri halal, kesalinghubungan dan pelancongan.

Selain itu katanya, isu-isu serantau dan global yang berkepentingan turut akan dibincangkan.

Jelasnya, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan kunjungan menghadap ke atas Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa untuk mengukuhkan lagi hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara.

“Selain itu, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan dan Ekonomi Bahrain, Shaikh Salman bin Khalifa Al Khalifa untuk meneroka peluang bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

“Di sela-sela lawatan ini, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan dalam sesi utama Intra-Islamic Dialogue Conference (IIDC) yang dianjurkan di bawah naungan Raja Bahrain dan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif merangkap Pengerusi Majlis Hukama Muslimin.

“Ucapan tersebut akan menekankan kepentingan perpaduan umat Islam dalam menghadapi cabaran global semasa. Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri juga akan memanfaatkan lawatan ini untuk memperkukuhkan kerjasama serantau, terutamanya menjelang Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 yang dijadualkan di Kuala Lumpur,” katanya.

Pada tahun lalu, Bahrain merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan jumlah dagangan bernilai RM1.19 bilion (AS$0.26 bilion).

Malaysia ialah rakan dagang ketiga terbesar Bahrain di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ke-18 terbesar di peringkat global pada 2023. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas