PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menghadiri Abu Dhabi Sustainability Week (ADSW) dari 12 hingga 14 Januari ini.
Menurut Wisma Putra, ia atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE merangkap Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
Jelasnya, Perdana Menteri akan
diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
“Perdana Menteri akan menyertai Majlis Pembukaan ADSW dan Majlis Anugerah Hadiah Kelestarian Zayed bersama ketua-ketua negara dan kerajaan dari rantau Afrika, Asia, Asia Tengah, Eropah dan Asia Barat.
“Program ADSW 2025 turut merangkumi sesi plenari di mana Perdana Menteri akan menyertai dialog bertajuk ‘ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity’,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Wisma Putra menambah, Perdana Menteri turut akan mengetengahkan perspektif dan pengalaman Malaysia dalam peralihan ke arah sumber tenaga lestari.
Semasa lawatan ini juga katanya, Perdana Menteri dijadual untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE meeangkap Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan rakan sejawat, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.
Katanya, perbincangan dijangka tertumpu kepada pengukuhan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, khususnya dalam sektor-sektor utama seperti tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan dan tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data.
Selain itu katanya, isu-isu serantau dan global yang berkepentingan turut akan dibincangkan.
“Di sela-sela ADSW, Perdana Menteri juga dijadual untuk menyaksikan pemeteraian
Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA).
“Perjanjian ini akan membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara,” katanya.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri juga akan meneroka peluang untuk
mengukuhkan kerjasama serantau, terutamanya dalam konteks peranan ASEAN dalam mempromosikan pembangunan lestari dan inovasi hijau di Asia Tenggara.
Jelas Wisma Putra, pada 14 Januari, Perdana Menteri akan berlepas ke London, United Kingdom bagi meneruskan program rasmi beliau di negara itu sebagai usaha untuk meningkatkan kedudukan global Malaysia dan memperkukuhkan hubungan strategik negara dengan rakan antarabangsa utama.
Dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE bernilai RM39.53 bilion (AS$8.61 bilion).
Pada 2023, UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Barat, dengan jumlah dagangan sebanyak RM39.63 bilion (AS$8.67 bilion).
Malaysia ialah rakan dagang keempat terbesar UAE di kalangan negara-negara anggota ASEAN dan ke-32 terbesar di peringkat global. – WILAYAHKU