Berita

PM Anwar adakan lawatan kerja ke Thailand

Bangunan Kementerian Luar Negara , Wisma Putra di Putrajaya.
- Diterbit 17 April 2025 11:45 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand hari ini atas jemputan rakan sejawatnya, Paetongtarn Shinawatra.

Menurut Wisma Putra, lawatan ini merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke Bangkok sejak memegang tampuk kepimpinan negara pada November 2022, selepas lawatan rasmi beliau pada 9 dan 10 Februari 2023.

“Semasa lawatan tersebut, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan bersama Paetongtarn Shinawatra.

“Kedua-dua Perdana Menteri dijangka menyusul hasil Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ke-7 (7th Annual Consultation – AC) yang telah diadakan di Putrajaya pada
16 Disember 2024,” jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelas Wisma Putra, kedua-dua pemimpin akan turut menilai kemajuan hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama baharu antara kedua-dua negara tetangga, di samping berbincang mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Semasa di Bangkok katanya, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan bersama Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN serta sesi libat urus bersama kapten industri Thailand.

“Lawatan ini merupakan kesinambungan kepada siri pertukaran lawatan di peringkat pemimpin pada tahun lalu serta perbualan telefon antara Perdana Menteri dan Paetongtarn Shinawatra pada 6 Mac lalu.

“Sesi libat urus sebegini mencerminkan talian persahabatan yang erat serta kerjasama rapat antara Malaysia dan Thailand selaku negara berjiran dan negara pengasas ASEAN,” katanya.

Pada tahun lalu, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM114.56 bilion (AS$25.03 bilion).

Dari Januari hingga Februari tahun ini, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM17.65 bilion (AS$3.96 bilion), berbanding RM16.80 bilion (AS$3.67 bilion) dalam tempoh sama pada 2024. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas