Berita

PM Anwar adakan kunjungan hormat ke atas Presiden Mesir

Foto: AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
- Diterbit 10 November 2024 11:15 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya (Heliopolis) di Kaherah.

Dalam lawatan atas undangan Presiden Mesir itu, Perdana Menteri berkata pertemuan beliau bersama Presiden El-Sisi menyentuh pelbagai perkara dalam usaha memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara.

Katanya, hubungan ini meliputi soal kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan, minyak sawit, industri halal, pendidikan, pelancongan, kesihatan serta sumber asli dan tenaga boleh baharu.

“Perbincangan kami turut menyentuh soal BRICS yang mana Malaysia menghargai usaha Mesir dalam menyokong penyertaan negara sebagai rakan kerjasama.

“Kami juga membincangkan situasi di Palestin yang mana Malaysia menyanjung usaha Mesir bersama Qatar dan Amerika Syarikat yang bertindak selaku perantara dalam menoktahkan penindasan oleh rejim zionis Israel,”katanya dalam hantaran di Facebook.

Perdana Menteri berkata pertemuan dua pemimpin itu turut menyentuh situasi yang kian meruncing di Lubnan yang berkemungkinan mengakibatkan konflik yang lebih meluas di timur tengah.

“Kami bersetuju bahawa kedua-dua negara mesti memainkan peranan yang lebih proaktif dan tegas dalam memastikan keganasan dihentikan dan nyawa diselamatkan serta keadilan sejagat mesti ditegakkan,”katanya.

Tambahnya, beliau turut mendoakan semoga hubungan Malaysia dan Republik Rakyat Mesir mesti terus mekar dan diperkuat demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Terdahulu Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas