PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak berganding bahu dalam menjayakan usaha kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan ekonomi dipertingkatkan demi kemakmuran rakyat.
Bercakap semasa Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di ibu negara, Perdana Menteri berkata keeajaan akan menumpukan usaha membangunkan negara disamping meningkatkan pelaburan untuk kemajuan.
“Seperti yang saya katakan pada tahun ini tumpuan adalah pendidikan berkualiti, perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, dan tumpuan asas kepada ekonomi, pembangunan melalui pelaburan dan dasar yang boleh menarik pelabur dalam dan luar negara,” katannya ketika berucap di Kuala Lumpur hari ini.
Perdana Menteri turut menggesa seluruh rakyat untuk terus menyokong agenda kerajaan dalam membersihkan negara darioada amalan rasuah dan isu tata kelola demi mengembalikan negara ke persada seperti yang pernah dikecapi sebelum ini.
“Saya juga ucap terima kasih kepada KLSCAH di bawah kepimpinan Presiden, Ngan Teng Yee yang menunjukkan sokongan terhadap usaha-usaha untuk memerangi rasuah yang telah saya sebut sebagai masalah besar dalam negara.
“Kita perlu bersihkan negara ini bagi memungkinkan kita melonjak sebagai negara penting dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di rantau ini,” katanya.
Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Duta Besar China, Ouyang Yujing. – WILAYAHKU