PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan secara maya melalui persidangan video bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk.
Dalam satu kenyataan, beliau mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat di Malaysia dan juga kesediaan Elon Musk untuk datang ke negara ini.
“Saya turut mengucapkan tahniah dan dokongan Kerajaan atas pembukaan Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon di Selangor pada tahun ini,” kata beliau.
Tambah Anwar, Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050.
“Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik.
“Kami turut berbincang berkenaan penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink yang dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman, yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minima bagi meningkatkan rangkaian internet global,” ujar beliau.
Menurut Anwar, inisiatif tersebut akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan.
Turut hadir menyertai persidangan itu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. – WILAYAHKU