PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Mesir hari ini sehingga 12 November atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.
Menurut Wisma Putra, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii.
“Semasa lawatan tersebut, Perdana Menteri akan disambut Presiden Mesir itu di dalam majlis sambutan rasmi diikuti oleh mesyuarat dua hala.
“Sesi perbincangan tersebut dijangka tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala melalui peningkatan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertahanan, keselamatan, pelancongan, pendidikan, hal-ehwal agama serta penerokaan kerjasama baharu dalam industri halal, kesihatan, air, tenaga boleh diperbaharui, sumber asli dan kelestarian alam,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Wisma Putra menambah, kedua-dua pemimpin turut dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, terutamanya mengenai konflik di Palestin.
Katanya, Perdana Menteri juga dijadualkan menyampaikan ceramah di Universiti Al-Azhar, menghoskan sesi libat urus bersama kapten-kapten industri tempatan serta merasmikan pusat operasi pemasangan Proton Saga.
“Perdana Menteri akan turut mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia semasa di Kaherah.
“Lawatan Perdana Menteri ini bakal melakar satu sejarah penting di dalam hubungan persaudaraan di antara Malaysia dan Mesir, membuka ruang untuk mempelbagai dan mengukuhkan kerjasama dan memperkukuh asas yang menjadi sinergi ke atas usaha-usaha meneliti pelbagai isu serantau dan global yang berkepentingan bersama,” katanya.
Mesir merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia di antara negara-negara Afrika pada 2023 dengan nilai dagangan bernilai RM3.35 bilion. Imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia.
Bagi tempoh Januari hingga September ini, jumlah nilai dagangan direkodkan pada RM3 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 21.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. – WILAYAHKU