Berita

PM adakan lawatan rasmi ke Brazil, hadiri Sidang Kemuncak G20

Foto: Pejabat Perdana Menteri
- Diterbit 18 November 2024 12:00 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan Lawatan Kerja ke Rio de Janeiro, Brazil bermula hari ini sehingga 19 November bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Wisma Putra, kehadiran Perdana Menteri di Sidang Kemuncak Pemimpin G20 adalah di atas jemputan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

“Ia mencerminkan hubungan diplomatik yang mesra antara Malaysia dengan Brazil.

“Ia juga memperlihatkan penglibatan aktif Malaysia dalam usaha-usaha kemampanan dan reformasi tadbir urus global,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Wisma Putra menambah, di bawah kepimpinan Brazil di G20 pada tahun ini, Malaysia menyertai secara aktif dalam dua inisiatif G20 yang signifikan.

Katanya, insiatif itu adalah Environment and Climate Sustainability Working Group (ECSWG) dan G20 Initiative on Bioeconomy (GIB) yang mencerminkan komitmen negara mencapai penyelesaian kolaboratif dalam bidang tersebut.

Jelas Wisma Putra, semasa Sidang Kemuncak G20, Perdana Menteri dijadual menyampaikan Kenyataan Negara dalam sesi-sesi mengenai ‘Fight Against Hunger and Poverty’ dan ‘Reform of Global Governance Institutions’.

“Di sela-sela Sidang Kemuncak G20, beliau juga dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dari Negara Anggota Kumpulan G20 untuk membincangkan isu-isu dua hala dan pelbagai hala yang berkepentingan bersama.

“Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Brazil untuk membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Brazil, termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan serta industri semikonduktor dan juga bagi mengukuhkan lagi persahabatan antara kedua negara,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala termasuk ASEAN, BRICS dan G20.

Beliau juga katanya, akan mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Brazil bagi mempromosikan peluang perniagaan, khususnya dalam sektor minyak dan gas dan teknologi digital.

“Penglibatan Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak G20 menekankan hasrat Malaysia untuk memajukan kerjasama ekonomi, menggalakkan kesejahteraan dan pembangunan inklusif serta reformasi tadbir urus global.

“Lawatan kerja ini juga membuka peluang kerjasama yang lebih luas untuk Malaysia dan Brazil, apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, dan Brazil sebagai Pengerusi BRICS pada tahun yang sama.

“Lawatan Kerja ini dijangka lebih mengukuhkan hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia dan Brazil,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas