Berita

PLKN 3.0: RM70 sehari diperuntukkan bagi setiap pelatih

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, 116 insan-insan terpilih daripada jutaan rakyat Malaysia tersebut berani menyahut seruan ibu pertiwi untuk menyertai PLKN secara sukarela demi kepentingan nusa dan bangsa.
- Diterbit 28 Februari 2025 10:45 AM MYT

KERAJAAN memperuntukkan RM70 sehari bagi setiap pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 untuk tahun ini.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberitahu, perbelanjaan kira-kira RM3,150 bagi tempoh 45 hari itu meliputi pelbagai keperluas asas pelatih sepanjang program.

Katanya, ia termasuk sajian, insurans, elaun perjalanan, pakaian kemeja dan sukan.

“Kementerian Pertahanan telah memulakan semula PLKN dengan perancangan yang teliti dari segi kos pelaksanaan, operasi dan anggaran perbelanjaan bagi setiap pelatih.

“Pendekatan PLKN 3.0 yang lebih efisien bukan sahaja berupaya mengurangkan kos secara keseluruhan tetapi juga memastikan program ini lebih mampan dan berkesan berbanding versi sebelumnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

MINDEF menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai perincian memulakan semula PLKN dari segi kos pelaksanaan, operasi serta anggaran perbelanjaan bagi setiap pelatih.

Jelas kementerian itu, kerajaan telah meluluskan bajet permulaan PLKN 3.0 untuk tahun ini sebanyak RM38.63 juta yang meliputi bayaran kepada tenaga pengajar, jurulatih dan kakitangan sokongan.

Malah katanya, ia turut merangkumi pengangkutan peserta, pakaian dan kelengkapan peserta, bahan latihan dan senggaraan kem.

“Bajet permulaan itu juga melibatkan pembelian dan penyelenggaraan peralatan latihan serta kemudahan di kem selain penyediaan makanan untuk pelatih sepanjang tempoh program.

“Lain-lainnya termasuk sistem pengurusan data pelatih dan modul latihan digital,” katanya.

MINDEF menambah, kos tersebut tidak melibatkan perbelanjaan yang besar kerana PLKN 3.0 menggunakan pendekatan yang lebih cekap.

Antara lain katanya, dengan memanfaatkan kemudahan pusat latihan milik kerajaan terutama kem Askar Wataniah sedia ada.

“Pendekatan ini menunjukkan kecekapan kerajaan dalam menguruskan perbelanjaan di samping memastikan kebajikan pelatih sentiasa terpelihara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas