Berita

PLKN 3.0: Komposisi 70 peratus Latihan Asas Ketenteraan, 30 peratus Kenegaraan

- Diterbit 4 Disember 2024 10:43 AM MYT

PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang akan dilaksanakan mulai tahun depan membawa pembaharuan struktur kurikulum baharu lebih ketara dengan komposisi 70 peratus untuk Latihan Asas Ketenteraan dan 30 peratus elemen Kenegaraan.

Menurut Kementerian Pertahanan, konsep PLKN 3.0 dibangunkan berteraskan Akta Latihan Khidmat Negara (Akta 628), Dasar Keselamatan Negara (DKN), Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan dasar-dasar berkaitan.

Malah katanya, pelatih PLKN juga akan turut didedahkan dengan kemahiran asas keusahawanan dan asas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk masa hadapan peserta sebelum menamatkan latihan.

“PLKN 3.0 memberi fokus kepada pemerkasaan belia dalam aspek keselamatan dan pertahanan negara.

“Ia juga mengembangkan semangat patriotisme, ilmu ketatanegaraan dan semangat cintakan negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan mengenai kurikulum PLKN 3.0 dan kelebihannya berbanding dengan kurikulum PLKN versi-versi terdahulu.

Kementerian Pertahanan menambah, PLKN 3.0 juga memfokuskan kepada mengukuh semangat perpaduan, mengamalkan nilai-nilai murni dan menanam semangat kesukarelawan.

Ia juga katanya, mempersiap pelatih dengan pengetahuan asas keusahawanan, kompetensi teknologi terkini, asas kemahiran teknikal dan vokasional.

“PLKN telah melalui beberapa fasa perubahan dari segi modul latihan dan kurikulum sejak pelaksanaannya. Perubahan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan dan menyesuaikan program bagi memenuhi keperluan belia.

“Perluasan demografi peserta, kurikulum yang pelbagai, kerjasama pentadbiran antara agensi kerajaan dan peningkatan sumber dalam PLKN 3.0 menunjukkan usaha untuk memperkukuh impak program dalam menyuburkan patriotisme, budaya khidmat masyarakat dan pembangunan jati diri belia di Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas