PLATFORM media sosial dituntut bertanggungjawab terhadap kandungan dan penyebaran bahan video dan gambar pornografi kanak-kanak, kata Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
Beliau berkata semua pihak perlu menuntut pembaharuan segera dan menyeluruh untuk memastikan platform-platform tersebut bertanggungjawab terhadap kandungan yang mereka dihoskan.
“Hakikat bahawa suspek mampu beroperasi dengan identiti palsu di platform seperti X dan Telegram, serta mengakses dan menyebarkan kandungan eksplisit dengan begitu mudah, menunjukkan kelemahan ketara dalam tadbir urus ruang dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Syerleena cadangan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil untuk memperkenalkan rangka kerja pelesenan media sosial adalah langkah ke arah yang betul, tetapi ia masih belum mencukupi.
Katanya, walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) wajar diberikan penghargaan atas tindakan pantas mereka, insiden ini bagaimanapun mendedahkan kelemahan sistemik dalam kerangka kawal selia digital negara.
“Kita mesti menuntut pembaharuan segera dan menyeluruh untuk memastikan platform-platform ini bertanggungjawab terhadap kandungan yang mereka hoskan.
“Internet, yang dahulunya diraikan sebagai ruang ilmu tanpa batas, kini menjadi medan gelap bagi mereka yang berniat mengeksploitasi kanak-kanak,” katanya.
Tambahnya, daripada pemangsa yang berlindung di sebalik profil tanpa nama, kepada kandungan berbahaya yang dikaburi sebagai hiburan, kanak-kanak kini terdedah kepada ancaman yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan mereka.
Tugasnya, platform media sosial, komuniti permainan (gaming communities), dan bahkan aplikasi pendidikan telah menjadi pintu masuk kepada pembulian siber, pengantunan (grooming) dan pendedahan kepada bahan yang mengganggu (disturbing).
“Serangan-serangan ini meninggalkan luka emosi yang mendalam, menghakis rasa selamat mereka, dan merosakkan persepsi mereka terhadap dunia.
“Kekurangan akauntabiliti dalam ruang digital membenarkan ‘kenegerian’ ini berkembang tanpa kawalan, sekaligus mencerminkan keperluan mendesak untuk memperkukuhkan perlindungan serta keselamatan kanak-kanak melalui peraturan yang jelas,” katanya.
Sementara itu, Syerleena menyeru kerajaan untuk melaksanakan peraturan ketat yang mewajibkan syarikat media sosial memberi keutamaan kepada keselamatan pengguna dan mencegah penyebaran CSAM.
Beliau berkata selain itu, pihaknya menggesa semua rakyat Malaysia untuk sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dalam talian yang melibatkan CSAM kepada pihak berkuasa.
“Melindungi kanak-kanak bukan hanya tanggungjawab kolektif; ia adalah keperluan moral yang memerlukan tindakan segera dan tegas,” katanya. – WILAYAHKU