TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) perlu digunakan dengan lebih meluas dalam pengurusan bandar raya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata teknologi itu membolehkan komputer dan mesin melaksanakan tugasan yang dapat membantu pihak berkuasa tempatan menguruskan pelbagai aspek perbandaran.
“Elemen perbandaran menjana pelbagai jenis data seperti trafik, kualiti alam sekitar, cuaca dan sebagainya.
“Melalui pengumpulan data yang berstruktur dan bersepadu, ia boleh menghasilkan pelbagai jenis analisis untuk membantu pihak pengurusan membuat keputusan yang tepat.
“Data-data ini juga dapat digunakan untuk membuat ramalan keadaan bandar sebagai amaran awal terhadap kemungkinan berlakunya kesan negatif terhadap sesuatu pembangunan,” katanya dalam majlis pelancaran Putrajaya Urban Observatory (PUO) pada Rabu.
Dalam masa sama, beliau berkata pembangunan yang pesat sedikit sebanyak memberi pelbagai kesan sama ada kepada alam sekitar atau kesesakan jalan raya.
“Dengan wujudnya data raya yang bersepadu, kesan itu dapat dihindari melalui simulasi dan juga trend menggunakan data terkumpul setiap tahun.
“Saya percaya Al dan Big Data (data raya) akan memberi kesan yang positif kepada rakyat,” ujarnya.
Di samping itu beliau berkata teknologi itu dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam membantu pentadbir bandar membuat keputusan tepat dan cepat berdasarkan analisis data yang komprehensif demi kesejahteraan masyarakat.
“Pihak kerajaan dan swasta perlu menjalinkan kerjasama dalam memastikan pengurusan serta pembangunan bandar pintar dapat memberi impak kepada rakyat dari pelbagai aspek terutama penjagaan alam sekitar di kawasan perbandaran dan meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui,” jelasnya.
PUO merupakan platform digital data raya bagi perkongsian data khusus untuk membolehkan pengumpulan dan analisis terhadap data-data perbandaran yang dibangunkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj).
PUO mempunyai lebih 200 lapisan data berasaskan pemetaan geospatial mampu membuat geoanalitik kepelbagaian data untuk membantu PPj dalam membuat keputusan dan penyelesaian perbandaran yang cepat, tepat dan interaktif terhadap sesuatu pembangunan.
PUO dilancarkan sempena Digital Putrajaya Exhibition dan Conference (DIPEC 2024) yang berlangsung dua hari (4 dan 5 Disember 2024) dengan tema ‘AI and Data Driven Future City’. – WILAYAHKU