Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

PL tekad tambah baik infrastruktur

RITHUAN (kanan) ketika melancarkan Taman Mini Jalan Bunga Melur
- Diterbit 21 Jun 2024 3:40 PM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) bertekad untuk mengubah Labuan menjadi lebih indah dan ceria menerusi pelbagai kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur kemudahan di pulau itu sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rithuan Mohd Ismail berkata perkara itu menjadi keutamaan pihaknya untuk menjadikan Labuan setanding dengan bandar di tempat lain sekali gus meningkatkan imejnya sebagai wilayah terbaik di rantau ini.

Katanya, antara bukti usaha pihaknya untuk mencapai matlamat itu dapat dilihat menerusi beberapa projek penambahbaikan infrastruktur di Bulatan Merdeka dan Taman Mini Jalan Bunga Melor yang menjadi satu tarikan baharu kepada masyarakat tempatan mahupun luar.

“Alhamdulilah, ini merupakan salah satu usaha daripada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menerusi PL dalam projek pengindahan bandar yang mana telah berjaya kita laksanakan dan kita berharap ia menjadi satu kebanggaan kepada masyarakat di pulau ini.

“Dengan siapnya taman mini ini, ia dapat digunakan dengan sebaiknya oleh warga Labuan dan kita juga berharap agar tiada berlakunya vandalisme yang akan mencacatkan keindahan dan keselesaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Taman Mini Jalan Bunga Melor baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Fadillah Mahmud.

Taman Mini tampil dengan imej baharu yang berkonsepkan hidupan marin dan juga pengcahayaan LED pada waktu malam. Taman itu juga merupakan kesinambungan kepada konsep reka bentuk Bulatan Merdeka.

Mengulas lanjut, Rithuan turut memaklumkan beberapa projek penambahbaikan infrastuktur yang bakal diluluskan dan yang akan dilaksanakan bagi tahun ini.

“Antara projek yang bakal dilaksanakan adalah menaik taraf beberapa jalan raya utama di Bulatan Merdeka dan tapak bangunan baharu di Jalan Baharu Membedai.

“Selain itu, pada tahun ini juga kita akan melaksanakan beberapa projek menaik taraf tapak baharu iaitu pembinaan menara tinjau, gerai-gerai serta tandas awam di Jalan baharu Membedai.

“Kita berharap dengan pelaksanaan beberapa projek menaik taraf infrastruktur ini akan memberikan sinar baharu kepada Labuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas