PERBADANAN Labuan memperuntukkan sejumlah RM1.2 juta bagi kerja-kerja menaik taraf medan selera Sudut Terminal Anjung Selera yang telah bermula pada Mei lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail projek menaik taraf itu dijadualkan siap dan bakal beroperasi semula pada Jun tahun hadapan.
“Medan selera terbuka tersebut telah pun berusia lebih sedekad dan ia popular dalam kalangan penduduk Labuan sementara pada sebelah malamnya pula, ia menjadi lokasi santai terutamanya bagi anak muda.
“Kita mahu menambah baik kemudahan di kedai makan di mana projek yang sedang berlangsung ini akan menjadikan medan selera ini sebuah premis berbumbung.
“Ia akan memberi keselesaan kepada pengusaha kedai makan dan pelanggan pada waktu siang berbanding sebelum ini. Kita juga akan menambah kemudahan lain seperti laluan pejalan kaki selain gerai-gerai akan dibaik pulih,” katanya kepada Wilayahku.
Terdahulu, Sudut Terminal Anjung Selera dikenali sebagai Siswazah Corner dalam kalangan peniaga tempatan dan memiliki lebih kurang 10 buah gerai yang aktif berniaga. – WILAYAHKU