PERBADANAN Labuan telah meluluskan bajet sejumlah RM100,000 bagi kos awal untuk pengurusan makanan bagi dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Labuan di Bahagian Teknologi Pendidikan dan Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Fary Akmal Osman tindakan segera itu diambil selepas menerima surat arahan Kerajaan Pusat bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Labuan selama sebulan.
” PL turut meluluskan bajet tambahan RM20,000 daripada tabung amanah bagi perbelanjaan makanan kering seperti biskut, kopi, teh,milo dan gula bagi sajian kepada pesakit COVID-19 di PKRC tersebut.
Beliau berkata demikian ketika menerima sumbangan makanan ringan kepada PKRC daripada Petra Energy Berhad, di perkarangan Bangunan Wisma Perbadanan Labuan, hari ini.
Dalam pada itu, Fary turut memaklumkan hasil daripada mesyuarat yang telah di pengerusinya baru-baru ini telah mendapat kerjasama daripada jabatan-jabatan kerajaan bagi melaksanakan usaha dalam menangani bilangan pesakit positif COVID-19 yang meningkat secara mendadak.
Ujar beliau, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersetuju menyediakan sebanyak 30kg ikan segar ke Unit Sajian Hospital Labuan secara berterusan selama 20 hari bagi meringankan beban Hospital Labuan.
” Jabatan Pertanian juga turut membantu dalam penyediaan makanan bagi pesakit COVID-19 dengan membekalkan sayur-sayuran segar secara berterusan.
” Semua bantuan dan sumbangan ini akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Pusat Operasi Kawalan Bencana (PKOB),” ujarnya. -WILAYAHKU