PERBADANAN Labuan (PL) dan Labuan Financial Services Authority (LFSA) meneroka ruang kerjasama dalam aspek tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk warga Labuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata LFSA merupakan antara pemegang taruh terbesar di Labuan dan merupakan penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi bagi Labuan, di mana ia menyumbang sebanyak 52 peratus kepada ekonomi Labuan.
Katanya, dalam pertemuan dengan pengurusan tertinggi, beliau dimaklumkan tentang pencapaian LFSA pada tahun 2024, yang telah meluluskan 66 lesen baharu bagi penubuhan syarikat pada tahun 2024.
“Ia meningkat sebanyak 8 peratus berbanding tahun sebelumnya. Selain itu, mereka juga telah dinobatkan sebagai ‘Best International Jurisdiction for Islamic Banking and Finance 2024’ di Global Islamic Financial Awards tahun lalu. Tahniah,” katanya dalam hantara di Facebook pada Selasa.
Menurut beliau, di peringkat PL, pihaknya sedia dan siap siaga untuk terus mempermudahkan proses-proses berkaitan yang memerlukan tindakan PL sebagai pihak berkuasa tempatan.
“Ia khususnya terkait keperluan perniagaan dan industri dan dalam usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan masuk ke pulau ini,” katanya.
Beliau berkata perbincangan turut terarah kepada ruang kolaboratif yang boleh diteroka di antara LFSA dan PL sekali gus nikmat limpahan ekonomi itu perlu turut dirasai oleh rakyat Labuan sendiri.
“Saya minta LFSA dan PL untuk terus merangka strategi dalam bentuk CSR yang akan memberi kesan langsung kepada kehidupan sosial dan sosioekonomi rakyat Labuan secara menyeluruh.
“Kita tidak mahu bangga hanya dengan angka yang mengigaukan, tetapi kesannya tidak dirasai dan pendekatan saya jelas, apa jua yang kita laksanakan, manfaat perlu sampai dan dinikmati oleh rakyat terbanyak,” katanya. – WILAYAHKU