PERBADANAN Labuan (PL) mengumumkan pemberian diskaun sewa bulanan sebanyak 50 peratus kepada peniaga pasar basah dan kering di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Pasar Sentral untuk tempoh satu tahun bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2023.
Timbalan Pengerusinya, Simsudin Sidek berkata pemberian diskaun itu merupakan langkah bagi membantu peniaga-peniaga kecil yang berhadapan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.
“Diskaun sewa 50 peratus ini adalah bukti komitmen kami untuk menyokong perniagaan mereka. Kami percaya pengurangan perbelanjaan sewa ini akan meringankan beban kewangan sekali gus memberi ruang bernafas untuk mengharungi landskap ekonomi semasa,” kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan beramah mesra bersama peniaga di Pasar Sentral, baru-baru ini.
Jelas beliau, pemberian diskaun sewaan itu memberi manfaat kepada 330 peniaga yang terdiri daripada 223 gerai sayur dan buah; 90 gerai ikan; 14 gerai ayam dan tiga gerai daging.
“Bagi pelaksanaan diskaun kadar sewa ini, PL telah memperuntukkan sebanyak RM59,000,” kata beliau.
Sementara itu, peniaga sayur-sayuran Rusdi Pangis menyifatkan pengurangan kadar sewaan itu dapat meringankan beban para peniaga kecil di pasar tersebut.
“Terima kasih PL kerana membantu dan kami sebagai peniaga kecil di Pasar Sentral amat bersyukur dengan pengumuman ini sekurang-kurangnya ia meringankan beban berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi ketika ini,” katanya.
Terdahulu, pada Julai lalu PL turut meluluskan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus kadar sewa 178 lot premis niaga di Aras 1 dan 2 membabitkan peruntukan sebanyak RM364,560 bagi menampung pemberian diskaun selama satu tahun. – WILAYAHKU