Berita

PKR terus matlamat asal perjuangankan keadilan seluruh rakyat

- Diterbit 23 Februari 2025 4:15 PM MYT

PKR tidak akan berganjak dari matlamat asalnya untuk memperjuangkan keadilan bagi seluruh rakyat sesuai dengan semangat dan falsafah yang terkandung dalam nama parti kita sendiri, kata Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam PKR Wilayah Persekutuan 2025 malam semalam.

Menurut Wan Azizah, majlis makan malam itu menjadi satu medan pertemuan yang bermakna buat semua khususnya kepada seluruh ahli PKR dari segenap pelosok Wilayah Persekutuan dan dari luar Wilayah yang turut hadir untuk bersama-sama meraikan kebersamaan dalam perjuangan ini.

“Sejak sekian lama, PKR telah berdiri teguh sebagai sebuah parti berbilang kaum yang meraikan kepelbagaian masyarakat.

“Ini bukan sekadar slogan, tetapi hakikat yang terpancar dalam wajah-wajah saudara dan saudari sekalian yang berada di dewan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata dalam pelbagai rintangan yang dilalui, ahli PKR tetap secara konsisten memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya, inilah kebanggaan parti sejak dahulu, dan inilah legasi yang harus dipertahankan.

“Saya melihat ramai wajah yang saya kenali, dari rakan seperjuangan yang telah bersama sejak era Reformasi 1998, hingga kepada generasi baru yang meneruskan obor perjuangan ini.

“Kita telah menyaksikan sendiri jatuh bangunnya parti ini. Kita telah melalui pelbagai cabaran, dari jalanan ke pentas politik arus perdana, dari demonstrasi jalanan ke tampuk kepimpinan negara di Putrajaya,” katanya.

Tambahnya, PKR berdiri sebagai parti tunjang dalam menerajui kerajaan, satu pencapaian yang hanya dapat direalisasikan melalui kesungguhan, ketabahan dan keikhlasan.

Beliau berkata perjuangan reformasi tidak berakhir dengan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Malah, tanggungjawab kita semakin besar dalam memastikan agenda reformasi terus direalisasikan.

“Kita kini berada dalam fasa baharu perjuangan, melaksanakan pembaharuan institusi, memastikan tadbir urus yang cekap dan berintegriti, serta mengangkat martabat rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas