Berita

PKR tangguh Kongres Nasional 2024 susulan banjir

- Diterbit 1 Disember 2024 10:33 PM MYT

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mengambil keputusan untuk menangguhkan Kongres Wanita, Kongres AMK, dan Kongres Nasional KEADILAN 2024 ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Setiausahanya, Dr Fuziah Salleh berkata ini berikutan situasi banjir yang sedang melanda dan dijangka berterusan di beberapa kawasan seluruh negara.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira keperluan untuk memberi keutamaan kepada kebajikan anggota parti, sukarelawan, serta rakyat yang sedang berdepan musibah banjir.

“PKR komited untuk memainkan peranan aktif dalam membantu mangsa banjir melalui pelbagai inisiatif kemanusiaan yang sedang dan akan terus digerakkan oleh parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata MPP telah memutuskan bahawa satu Kongres Khas bagi meminda Perlembagaan Parti akan tetap diadakan pada 15 Disember ini.

Beliau berkata pelaksanaan Kongres Khas ini akan diadakan di Negeri Selangor, dan butiran lokasi akan dimaklumkan oleh Pejabat Setiausaha Agung dalam masa terdekat.

“PKR ingin menyeru semua pihak, termasuk anggota parti, untuk terus memberikan sokongan dalam usaha membantu rakyat yang terjejas akibat banjir.

“Semangat solidariti dan keprihatinan adalah asas kepada perjuangan kita sebagai sebuah parti reformasi yang sentiasa berpihak kepada rakyat,” katanya.

Fuziah menambah sebarang perkembangan terkini berhubung Kongres Nasional dan Kongres Khas akan dimaklumkan melalui saluran rasmi parti. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas