PKR harus kekal menjadi parti dominan yang memimpin kerajaan sekarang dan juga pada masa akan datang, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Beliau berkata ini kerana PKR boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat berbilang bangsa di dalam negara ini.
“Ini adalah saat yang tepat untuk kita melakukan perkara tersebut dengan mengukuhkan jentera PKR di setiap peringkat ranting dan cabang di seluruh negara kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah presiden parti kita.
“Kita akan kerugian besar sekiranya tidak mengambil peluang ini. Lebih dua dekad kita berusaha mengangkat Anwar Ibrahim dan sekarang beliau sudah pun jadi Perdana Menteri.
“Seharusnya kita manfaatkan kedudukan kita sebagai parti yang menerajui kerajaan persekutuan,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam PKR Wilayah Persekutuan 2025 di Wisma Kwong Tong Cemetery (KTC).
Mengulas lanjut, Azman yang juga Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan menyeru kepada pimpinan PKR yang mempunyai jawatan seperti Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan EXCO untuk turun ke lapangan.

Katanya, ini bagi membantu anggota-anggota parti di negeri-negeri terutama negeri-negeri pembangkang untuk PKR merampas negeri-negeri tersebut pada pilihanraya yang akan datang.
“Janganlah hanya kita semangat turun ketika musim pemilihan parti baru nak bertanya khabar ketua cabang dan anggota-anggota parti di bawah.
“Kita kena ingat bahawa kita berada di sini di jawatan ini kerana kekuatan parti dan jika parti lemah dan kalah kita akan hilang segalanya,” katanya.
Sementara itu, Azman mengingatkan inilah masa yang terbaik untuk PKR memperkukuhkan parti di semua peringkat di seluruh negara.
Beliau berharap semangat anggota dan pimpinan yang berkobar-kobar di musim pemilihan parti ini diteruskan momentumnya hingga ke pilihanraya akan datang.
“Malah perlu terus lebih hebat lagi. Sebagai pemimpin, seharusnya kita muhasabah kembali jika terdapat sentimen serta maklum balas teguran yang diberikan oleh akar umbi tentang komitmen kita terhadap parti.
“Jawatan yang diberikan bukanlah anugerah tetapi satu tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai amanah,” katanya.
Menurut Azman, jadikan PKR sebagai wadah untuk terus relevan berkhidmat kepada anggota parti dan juga masyarakat di luar.
“Bak kata pepatah, Ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk ke bawah.
“Sebagai pemimpin perlunya kita mempunyai sifat tawaduk kerendahan hati dalam mendekati ahli-ahli di bawah yang sekian lama menjadi kekuatan jentera PKR.
“Politik khidmat bukan politik bergerak seorang diri tetapi bergerak seangkatan bersama-sama seiring pemerkasaan akar umbi,” katanya. – WILAYAHKU