Berita

PKR Cabang Ampang teguh bersama Wan Azizah

- Diterbit 13 Disember 2024 12:18 PM MYT

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ampang menyanggah kenyataan tidak berasas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung isu Batu Puteh.

Setiausaha PKR Cabang Ampang Syafiq Zulkifli berkata, tuduhan yang dilemparkan berunsur jahat dan bertujuan untuk mencemarkan reputasi seorang pemimpin yang berintegriti dan berdedikasi.

“Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan Batu Puteh amat jelas menyatakan Tun Mahathir telah membuat keputusan sepihak tanpa persetujuan Kabinet.

“Keadilan Cabang Ampang sentiasa komited untuk menegakkan prinsip keadilan, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Syafiq berkata PKR Cabang Ampang menyeru semua pihak agar menghentikan serangan peribadi dan fitnah.

Beliau berkata sebaiknya fokus kepada usaha-usaha untuk membina negara dan mensejahterakan rakyat.

“Tun Mahathir perlu bermuhasabah diri sebagai seorang negarawan dan bekerjasama sekiranya ada siasatan seperti saranan Suruhanjaya Siasatan Diraja kerana isu ini melibatkan kedaulatan negara.

Pada Selasa, Tun Mahathir ketika sidang media menyifatkan syor siasatan jenayah terhadapnya berhubung RCI Batu Puteh sebagai langkah bermotifkan politik untuk menjatuhkan reputasi beliau.

Tegasnya, keputusan untuk menarik balik permohonan semakan dan tafsiran Pulau Batu Puteh pada 23 Mei 2018 bukan dibuat oleh beliau secara bersendirian, tetapi diputuskan bersama dalam Mesyuarat Kabinet.

Semalam, Bekas Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan bersama berkata keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran berhubung isu Pulau Batu Puteh dibuat pada 21 Mei 2018 oleh Tun Mahathir sendiri secara bertulis kepada peguam cara negara tanpa merujuk Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Tambah kenyataan bersama itu berkata perkara itu turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum Mesyuarat Kabinet pertama diadakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas