SATU berita gembira buat seluruh rakyat Malaysia apabila kerajaan secara rasmi telah mengumumkan fasa baharu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos ini.
Antara intipati PKPP yang telah digariskan adalah perjalanan rentas negeri dibenarkan mulai 10 Jun, hampir semua aktiviti dibenar beroperasi, pelancongan domestik dibenarkan semula dan banyak lagi.
Namun, dalam kegembiraan ini, pelakon Risteena berharap rakyat tidak mudah rasa selesa sebaliknya perlu terus patuhi garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Saya berharap, semua rakyat tolonglah terus patuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Apa pun yang kita lakukan setiap hari, di mana kita berada, dengan siapa pun kita jumpa, insya Allah semuanya akan baik-baik saja selagi kita semua patuhi SOP.
“Iyalah… Kita semua maklum, setiap hari ada pertambahan kes baharu dan tidak kurang yang bertarung nyawa. Jadi, janganlah ambil mudah walaupun sudah banyak kelonggaran yang kerajaan berikan.
“Kita sahaja yang mampu hapuskan penyakit ini dengan menjaga kebersihan diri, jaga jarak selamat dan sentiasa berwaspada setiap kali berada di tempat yang ramai orang,” katanya yang bersyukur kerajaan melakukan yang terbaik buat rakyat.
Bagi Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim,30, bukan semua negara berjaya tangani serangan wabak ini.

“Saya bersyukur, dalam masa yang sama terharu dengan usaha keras kerajaan, para barisan hadapan, pihak yang memberikan sumbangan dana dan semua yang terlibat kerana melakukan yang terbaik.
” Tanpa usaha mereka, tidak mungkin Kita berada di tahap ini. Jadi, kita semua tunjukkanlah rasa terima kasih dengan mematuhi SOP,” ujar Risteena yang juga tunang kepada pelakon Isa Khan.
Pasal kerjaya, Risteena yang juga kakak kepada pelakon Ruhainies ini akan kembali menyambung penggambaran drama bersiri Lelaki Itu Untuk Ku 2 dalam masa terdekat. – WILAYAHKU