Berita

Pisah KKD untuk tangani transformasi komunikasi dan digital dengan lebih baik – PM

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 12 Disember 2023 3:27 PM MYT

KEPUTUSAN untuk memisahkan Kementerian Komunikasi dan Digital dalam rombakan Kabinet hari ini adalah untuk menangani transformasi komunikasi dan digital dengan lebih baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semasa mengumumkan barisan Kabinet baharu di sini hari ini, Anwar berkata terdapat banyak kritikan terhadap kerajaan dan aspek komunikasi melalui media sosial agak mencabar.

“… komunikasi untuk menyampaikan dan menyebarkan maklumat telah tidak begitu berkesan atau memuaskan, jadi mesti ada fokus,” kata beliau menjawab soalan mengenai sebab memisahkan portfolio digital dan komunikasi di bawah rombakan itu.

Terdahulu, Anwar mengumumkan penstrukturan semula Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipisahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital sekarang, dinamakan sebagai Menteri Komunikasi manakala Ahli Parlimen Damansara dan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo sebagai Menteri Digital.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim juga telah dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Mengenai transformasi digital yang dikatakan mencabar juga, Anwar berkata terdapat keperluan untuk menangani isu itu kerana ia sentiasa berubah dan minat baharu muncul.

“Dengan pusat data baharu, dan minat baharu dalam kecerdasan buatan (AI), terdapat keperluan untuk meningkatkan pemahaman pelajar di pelbagai peringkat. Ia satu tugas yang sangat mencabar,” kata beliau. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas