Berita

Pindah halangan, DBKL sita premis

SEKITAR operasi yang dijalankan baru-baru ini.
- Diterbit 11 Oktober 2024 11:37 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Penguatkuasaan dan Pejabat Cawangan Bukit Bintang menjalankan operasi pindah halangan terhadap premis yang menyebabkan halangan di laluan awam serta tindakan kompaun penjaja tanpa lesen di sekitar Chow Kit, Jalan Leboh Pasar, Jalan Dewan Sultan Sulaiman dan Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Ipoh.

“Melalui tindakan khas yang dijalankan, DBKL melaksanakan 12 kes sitaan di bawah peruntukan Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit Bangunan 1974.

“Antara barangan yang disita adalah kanopi, stall stainless steel, kerusi, meja plastik dan lain-lain peralatan. Manakala enam notis kompaun telah dikeluarkan di bawah UUK 3 (1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” ujarnya.

Tambahnya barangan dan peralatan yang disita, dihantar ke Stor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan tindakan selanjutnya.

“Tindakan dan pemantauan berterusan akan dijalankan menerusi siri-siri tindakan khas di 11 parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, DBKL turut mengingatkan orang ramai untuk tidak mencetuskan situasi panik dengan menyebarkan kandungan yang tidak bertanggungjawab.

Ia berikutan isu tular di media sosial TikTok yang memaparkan penutup simen di Jalan Masjid India terangkat berulang kali hingga mencetuskan kebimbangan orang awam dan pengunjung di lokasi berhampiran pada 4 Oktober lalu.

DBKL yang tampil menjawab isu tular tersebut berkata penutup lurang atau manhole telah hilang berkemungkinan disebabkan isu vandalisme sehingga menyebabkan penutup simen atas terangkat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas