Berita

Pindaan Akta 333 sokong inovasi sektor automotif

- Diterbit 10 Mac 2025 3:45 PM MYT

PINDAAN terhadap Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dilakukan bagi memastikan perundangan negara selari dengan perkembangan teknologi semasa.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pindaan pada 2024 itu juga sekali gus menyokong inovasi dan pembangunan automotif negara.

Ia katanya, memasukkan aspek teknikal berkaitan pembinaan dan penggunaan kenderaan pemanduan autonomi (AV), kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV).

“Bagi penggunaan kenderaan berteknologi pintar seperti kenderaan AV, pihak kementerian dengan kerjasama pemain industri automotif telah melaksanakan siri pengujian kenderaan AV berpandukan Garis Panduan Pengujian Kenderaan Pemanduan Autonomi (AV) di jalan raya, yang dibangunkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Futurise.

“Melalui pelaksanaan ujian ini, penemuan teknikal, hasil pengujian dan pandangan pemegang taruh akan dikaji dengan teliti untuk memastikan pembangunan peraturan yang
bakal mengawal selia teknologi ini adalah menyeluruh dan bersesuaian dengan keperluan industri,” katanya di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Dr Ahmad Azam Hamzah sama ada kerajaan bercadang meneroka penggunaan teknologi seperti kereta pandu sendiri atau sistem kereta api tanpa pemandu.

Hasbi memberitahu, garis panduan tersebut akan memastikan bahawa pengujian kenderaan AV di Malaysia dilakukan secara selamat selaras dengan perundangan sedia ada dan menekankan aspek pelaporan serta kawalan yang jelas.

“Ia turut menggariskan keperluan teknikal yang perlu dipatuhi, termasuk spesifikasi komponen kenderaan, sistem keselamatan AV dan prosedur pengujian yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, mod pengangkutan awam rel metro di Lembah Klang telah mengadaptasi sistem kereta api tanpa pemandu melalui perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya sejak 1998, perkhidmatan MRT Laluan Kajang sejak 2016 dan MRT Laluan Putrajaya (2022).

“Pengoperasian ketiga-tiga perkhidmatan ini dikawal melalui sistem kawalan tren automatik di Pusat Kawalan Operasi (OCC),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas