Berita

Pilihanraya PBT : Zaliha tidak tolak kepentingan, akan berbincang dengan KPKT

Kredit foto: SHUAIB AYOB/WILAYAHKU
- Diterbit 19 Disember 2023 2:51 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi meneliti cadangan pelaksanaan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di ibu kota Kuala Lumpur seperti yang diutarakan.

Katanya, beliau juga tidak menolak kepentingan mengadakan semula pilihan raya berkenaan namun terdapat beberapa penting yang akan dilaksanakan dan diberi tumpuan terlebih dahulu.

“Saya tidak menolak akan kepentingan pilihanraya PBT ini namun jika kita lihat, ia sebenarnya di bawah KPKT.

“Apa-apa pun saya akan berbincang bagaimana dan melihat serta meninjau perkara tersebut dengan lebih teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi taklimat bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Menara DBKL 1, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Noridah Abdul Rahim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh.

Sebelum ini, Zaliha bercakap kepada media bahawa beliau mengambil maklum mengenai pelbagai pandangan mengenai isu berkenaan termasuk perkara yang dilontarkan oleh Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai.

Katanya beliau menerima segala cadangan yang diutarakan namun pelaksanaan tersebut perlu melalui perbincangan yang lebih mendalam sebelum sebarang keputusan yang berkaitan diambil.

Pada konvensyen DAP baru-baru ini, Kok Wai mencadangkan agar pilihan raya PBT diadakan di ibu negara bagi menyemarakkan demokrasi dan bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada masyarakat untuk memilih ahli majlis tempatan. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas