CALON Republikan, Donald Trump mendakwa telah memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024 menewaskan Kamala Harris dari Demokrat.
Dalam ucapan di depan penyokongnya di West Palm Beach, Florida, bekas Presiden itu menegaskan untuk kembali memulihkan AS.
“Kita akan bekerja kuat sehingga pasti mengembalikan kekuatan, keselamatan dan kemakmuran Amerika untuk kita dan anak-anak kita.
“Ini masanya untuk keemasan Amerika,” katanya seperti dilaporkan Al-Jazeera.
Beliau kemudian mengaitkan cubaan bunuh terhadapnya dan terselamat ada sebabnya iaitu untuk menyelamatkan negara.
“Ramai orang beritahu saya bahawa Tuhan telah menyelamatkan saya untuk satu sebab, iaitu menyelamatkan negara kita dan mengembalikan kejayaan Amerika.
“Dan kini kita akan memenuhi misi tersebut,” katanya.
Beliau berkata, dengan kemenangannya itu, kini masanya untuk mengetepikan perpecahan.
“Terima kasih semua (pengundi). Saya tidak akan mengecewakan anda.
“Masa depan Amerika akan menjadi lebih baik, berani, kaya, lebih selamat dan lebih kuat berbanding sebelum ini,” katanya.
Terdahulu beliau menerima ucapan tahniah beberapa pemimpin termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Canselor Austria, Karl Nehammer.
Dalam pada itu AFP melaporkan Trump hanya memerlukan sedikit lagi undi elektoral untuk menewaskan Harris.
Media AS mengunjurkan Trump menang di lebih separuh daripada 50 negeri AS, termasuk tiga ‘negeri atas pagar’ iaitu Georgia, Carolina Utara dan Pennsylvania, dua daripadanya mengundi Demokrat pada pilihan raya lalu.
Itu memberikannya 266 undi elektoral, hanya sedikit daripada 270 yang diperlukan untuk memenangi jawatan Presiden. – WILAYAHKU