KEJOHANAN Piala Mirnawan 2023 bakal menjadi platform buat pemain baru menampilkan aksi cemerlang untuk diketengahkan ke dalam skuad negara bagi saingan Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja pada masa depan.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal berkata Piala Mirnawan 2023 yang bakal berlangsung esok menumpukan kepada kategori bawah 17 tahun lelaki dan wanita merupakan platform terbaik bagi memberi pendedahan kepada pemain tempatan merasai pengalaman bertanding menyaingi kehebatan pasukan negara lain.
“Ini (Piala Mirnawan) bukan semata-mata merebut trofi, namun lebih kepada pendedahan. Saya mahu mereka merasai bahang pertandingan antarabangsa.
“Kebanyakan pemain yang mewakili Malaysia dalam lingkungan 16 tahun, memandangkan piala dunia remaja ketika ini berlangsung setiap dua tahun sekali, maka kami ada cukup masa untuk menggilap bakat mereka untuk mewakili negara, sama ada dalam masa dua tahun atau empat tahun dari sekarang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Tambahnya hanya pemain berusia 21 tahun dan ke bawah dibenarkan beraksi dalam Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja.
“Diharapkan kejohanan Piala Mirnawan yang memasuki edisi kedua itu akan dianjurkan pada setiap tahun selepas ini bagi memastikan kesinambungan pembangunan bakat di peringkat akar umbi,” ujarnya.
Piala Mirnawan 2023 yang berlangsung di Stadium Hoki KPM Lembah Pantai akan menampilkan lima pasukan lelaki serta enam pasukan untuk saingan wanita pada kejohanan yang akan berakhir pada 26 November.
Bagi kategori lelaki, Malaysia menghantar dua pasukan iaitu Malaysia Speedy Tigers (A) dan Malaysia Speedy Tigers (B) yang bakal berentap dengan Afrika Selatan, Persatuan Hoki Odisha dari India serta Australia All Star. Saingan wanita pula menyaksikan pertarungan di antara Malaysia Speedy Tigress (A), Malaysia Speedy Tigress (B), Afrika Selatan, Persatuan Hoki Odisha dari India, Australia All Star dan Jepun.
Dalam pada itu, Subahan berharap agar pemain negara dapat menampilkan semangat juang tinggi, dalam usaha mencapai sasaran ke peringkat suku akhir pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dari 5 hingga 16 Disember.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Argentina diikuti juara 1997 Australia dan Chile. – WILAYAHKU