Berita

PH setuju BN tanding di PRK DUN Mahkota

- Diterbit 17 Ogos 2024 6:56 PM MYT

PAKATAN Harapan (PH) bersetuju Barisan Nasional (BN) akan bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor.

Dalam satu kenyataan, Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu dicapai selepas mesyuarat kepemimpinan tertinggi PH pada minggu lepas.

Beliau berkata mesyuarat itu dipengerusikan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mesyuarat bersetuju dengan keputusan bahawa kerusi DUN Mahkota tidak ditandingi oleh calon PH pada PRK nanti.

“Adalah juga dipersetujui PH bersetuju calon BN akan bertanding sebagai menghormati kerusi ‘incumbent’ sepertimana BN berbuat serupa ketika PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada September 2023 tempoh hari,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata PH akan turun memberi sokongan dan dokongan sepenuhnya kerana mengekalkan kemenangan kerusi DUN Mahkota adalah menjadi keutamaan dalam semangat Kerajaan Perpaduan pada hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 28 September ini sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota.

Manakala, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 14 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan pemergian penyandang kerusi tersebut, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas