Berita

PGSM tawar bantuan guaman, pemulihan mangsa GISBH

- Diterbit 24 September 2024 6:13 PM MYT

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menawarkan untuk memberi bantuan guaman dan pemulihan kepada wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa GISBH.

Presidennya, Musa Awang berkata, bantuan dan kerjasama itu adalah memberikan nasihat guaman syariah, membawa permohonan ke Mahkamah Syariah berhubung pengesahan status nikah, pengesahan status nasab anak-anak, hak penjagaan anak-anak oleh kaum kerabat dan sebagainya.

“PGSM berpandangan semua pihak pada masa ini wajar menghentikan dan menamatkan salah-menyalah serta menuding jari sesama sendiri.

“Sebaliknya menumpukan kepada usaha bantuan dan pemulihan khususnya kepada wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa GISBH,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Musa menambah, PGSM telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan hari ini dan menyampaikan hasrat berkenaan.

Ia katanya, untuk bersama terlibat dalam usaha memberi bantuan dan pemulihan kepada mangsa GISBH yang dipercayai terpesong.

“PGSM berharap usaha murni PGSM untuk tujuan bantuan dan pemulihan ini turut mendapat sokongan daripada pihak kerajaan, agensi-agensi yang berkaitan serta Majlis Agama Islam negeri-negeri,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas