DI bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menetapkan dua Keberhasilan Ekonomi Keutamaan atau Priority Economic Deliverables (PED) berkaitan tenaga iaitu ASEAN Plan of Action for Energy Cooperation (APAEC) 2025, Fasa 1: 2026 hingga 2030 dan ASEAN Power Grid (APG) Enhanced Memorandum of Understanding (MOU).
PETRA dalam kenyataan menjelaskan dua dokumen dasar ini adalah penting untuk memastikan kerjasama yang berterusan dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi membangunkan industri tenaga ke arah jaminan bekalan dan kemampanan tenaga di rantau ASEAN.
“Inisiatif APG akan diberi fokus dalam semua mesyuarat berkaitan pada kali ini dengan objektif untuk memuktamadkan dokumen APG Enhanced MOU pada tahun 2025.
“Kandungan MOU ini antara lain akan memberi penekanan untuk meningkatkan keupayaan infrastruktur talian penghantaran tenaga elektrik dalam kalangan negara ASEAN supaya lebih banyak tenaga elektrik, terutamanya tenaga berasaskan sumber bersih seperti hidro, solar dan angin dapat diperdagangkan rentas sempadan,” ujar kenyataan itu.
Tambahnya, usaha ini secara langsung dapat mengoptimakan penggunaan sumber tenaga bersih, menjamin bekalan tenaga kepada rakyat dan memanfaatkan negara-negara di rantau ASEAN.
Sehubungan itu, PETRA akan mempengerusikan tiga (3) mesyuarat utama Sektor Tenaga iaitu Special Senior Officials Meeting on Energy di Langkawi, Kedah pada 22 hingga 24 Januari 2025, Senior Officials Meeting on Energy di Kuching, Sarawak pada 16 hingga 20 Jun 2025 dan ASEAN Ministers of Energy Meeting di Kuala Lumpur pada 22 hingga 26 September.
Terdahulu, Majlis Peluncuran Penganjuran Mesyuarat – Mesyuarat Tenaga ASEAN 2025 telah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Putrajaya. – WILAYAHKU