Berita

PETRA akan pastikan impak minimum kenaikan tarif elektrik tidak bebankan PMKS

- Diterbit 18 Februari 2025 11:42 AM MYT

KEMENTERIAN Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air (PETRA) akan memastikan pelaksanaan jadual tarif elektrik yang baharu di Semenanjung yang dijangka dilakanakankan bermula pada 1 Julai ini hanya memberi impak yang minimum kepada pengguna daripada kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya pengguna kategori ini dapat terus kekal kompetitif dan berdaya maju.

PETRA berkata pihaknya masih belum mempunyai perincian lanjut mengenai jadual tarif baharu tersebut memandangkan pihak Suruhanjaya Tenaga (ST) masih sedang melaksanakan kajian mengenainya.

“Dalam hal ini, Kerajaan akan berusaha memastikan agar sebarang kenaikan yang boleh membebankan rakyat adalah tidak dibenarkan sama sekali dengan mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Ini termasuklah memastikan 85 peratus pengguna domestik di Semenanjung terus kekal dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar,” katanya.

PETRA berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bertanyakan mengenai perincian lanjut mengenai jadual tarif elektrik baharu yang akan dilaksanakan pada Julai 2025 dan sejauh manakah penetapan tarif baharu kelak tidak membebankan pengguna terutama kategori domestik serta PMKS di parlimen pada Isnin.

PETRA berkata kerajaan pada 13 Disember 2024 telah bersetuju dengan penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah mekanisme Incentive Based Regulation (IBR) untuk tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula pada 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

“Sehubungan itu, Kementerian dan Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu yang dijangka dilaksanakan bermula pada 1 Julai 2025,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas