DALAM usaha memperkasakan skuad bola sepak kebangsaan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan dua individu penting yang akan menerajui struktur organisasi baharu skuad Harimau Malaya.
Menurut FAM, Peter Cklamovski dilantik sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan sementara Nafuzi Zain pula sebagai Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan.
Dalam pengumuman yang dibuat sebentar tadi, FAM memaklumkan dua individu yang akan menerajui struktur organisasi baharu skuad Harimau Malaya itu adalah sebagai permulaan kepada revolusi untuk memperkasakan skuad bola sepak kebangsaan.
Cklamovski dan Nafuzi akan memulakan tugasan secara rasmi bersama FAM pada 1 Januari 2025.
Selain lantikan kedua-dua individu berpengalaman itu, FAM turut berjanji akan membuat perubahan dan pembaharuan untuk memantapkan aspek pengurusan, penggunaan teknologi dan perubatan serta melantik jurulatih-jurulatih baharu yang berperanan terhadap para pemain kebangsaan.
Dalam masa sama, FAM berkata fasiliti pengurusan dan pasukan perubatan akan ditambah baik selain bakal menerima nafas yang baharu di bawah penstrukturan semula pertubuhan itu.
“Ini adalah sebahagian insiatif-inisiatif serta perubahan bagi melaksanakan struktur organisasi baharu untuk Harimau Malaya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Selain itu, FAM berkata Ketua Pegawai Eksekutif dan pasukan perubatan berpengalaman baharu akan dilantik bagi membantu penstrukturan semula FAM untuk memastikan perjalanan operasi organisasi berjalan dengan lebih cekap serta profesional.
“Pasukan perubatan akan mula menggunakan teknologi-teknologi terkini untuk membantu memastikan pemain-pemain Harimau Malaya sentiasa mendapat perkhidmatan dan rawatan perubatan yang terbaik.
“Langkah-langkah ini juga diharapkan dapat meningkatkan kualiti pengurusan serta memperkukuhkan kecergasan pemain dan membantu pemulihan pemain serta memaksimumkan potensi mereka,” katanya. – WILAYAHKU