Cakna

PeTA 2023 angkat empat karya dari Asia Tenggara

- Diterbit 15 Disember 2023 9:10 AM MYT

PENILAIAN Tahun Akhir (PeTA) 2023 bertemakan Meninjau Asia mengangkat empat produksi terdiri daripada 16 orang pelajar yang akan dinilai dalam pelbagai bidang pada 27 sehingga 30 Disember tahun ini.

Menurut Ketua Penyelaras PeTA 2023, Mohd Shahrul Mizad Asari, PeTA merupakan subjek penilaian wajib lulus bagi pelajar tahun akhir setiap fakulti di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“PeTA 2023 menyusuri karya-karya dari Asia Tenggara dan diangkat setelah melihat kesesuaian dan temanya universal berbanding tahun lalu yang hanya memfokuskan karya-karya anak tempatan.

“Antara karya-karya yang akan dinilai adalah A Nowhere Place, Bulan Emas di Jendela Kakek, Malam Terakhir dan Kisah Cinta dan lain-lain.
Seramai 16 pelajar akan dinilai iaitu empat dalam bidang pengarahan, empat dalam bidang sinografer manakala lapan pelajar dinilai menerusi bidang lakonan,” katanya penilaian bermula pada pukul 3 petang dan 8.30 malam bertempat di Black Box ASWARA.

Tambahnya, projek berbentuk produksi tersebut dilakukan secara individu atau berkumpulan di mana setiap pelajar akan diselia oleh seorang penyelia yang bertindak sebagai pembimbing dan penasihat pelajar daripada peringkat pra produksi hingga penghasilan produksi.

“Antara objektif PeTA 2023 adalah untuk memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan keseluruhan hasil pembelajaran di dalam penilaian akhir mengikut pengkhususan bidang.

“Ia juga bagi memberi pendedahan kepada para pelajar daripada aspek pengarahan, lakonan dan kerja-kerja produksi dengan memberi tumpuan kepada naskhah dan produksi teater dalam dan luar negara,” ujarnya pelajar juga wajib menduduki Seminar Akhir (viva voce) yang akan menilai hasil kerja mereka.

“Ia juga menggalakkan penerokaan ilmu dengan menggunakan teori dan praktik serta praktis dalam masa yang sama merekodkan proses latihan dan persembahan di dalam bentuk penulisan ilmiah selain produksi, mengasah bakat dan kemahiran pelajar,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari media sosial @aswara.official (Instagram), @aswara (Facebook), @ASWARA_official (X) atau layari laman sesawang ASWARA. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas