PENGANJURAN Pesta Teater Kuala Lumpur 2024 merupakan satu platform untuk memperkembangkan seni persembahan menerusi pementasan teater.
Pengarah Bahagian Bimbingan Seni Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Radzi Omar menyifatkan Pesta Teater Kuala Lumpur sebagai satu perkembangan yang baik dalam bidang teater.
“Kita melihat dari segi anak-anak muda menunggu-nunggu program seperti ini kerana ia satu ruang bagi mereka untuk melahirkan satu karya,” katanya.
Jelas beliau, menerusi pesta berkenaan, pihaknya dapat melihat produksi teater ini mengekspresikan bakat mereka dan bercerita tentang situasi dan keadaan Kuala Lumpur.
“Mungkin kita tidak melihat apa yang berlaku di luar sana tetapi bagi produksi-produksi ini, inilah keadaan dan situasi sebenar Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pesta Teater Kuala Lumpur di Panggung Bandaraya.
Tambah beliau pihaknya akan cuba mengangkat program seni khususnya teater lebih-lebih lagi tahun hadapan adalah persiapan Tahun Melawat Malaysia.
Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ismadi Sakirin, menyambut baik sambutan penggiat seni Kuala Lumpur.
“16 produksi telah menyertai dan kita pilih 10 yang terbaik. Daripada 10 produksi ini, kita telah melibat pementasan di Panggung Bandaraya yang memberikan peluang untuk para penggiat teater mempertontonkan bakat,” katanya.
Naskhah Warga S yang dipentaskan Kumpulan Acahart Studio diumumkan sebagai Johan yang membawa pulang RM10,000, piala iringan dan sijil penyertaan.
Manakala Teater Jajahan Chow Kit Road, Idea Asal oleh Khairunazwan Rodzy, karya Azril Suhaili arahan Mohd Fahim Ali @ Mamoo, Kumpulan Atisuto diumumkan pemenang tempat kedua memenangi wang tunai RM8,000.
Tempat ketiga, Teater Sedu di Kuala Lumpur karya dan arahan Iefiz Alauddin, Kumpulan Main Theatre membawa pulang RM5,000 dan masing-masing membawa pulang piala iringan dan sijil penyertaan. – WILAYAHKU