MUHAMMAD ILHAMUDDIN ARSAD & DR SITI AISYAH SAMUDIN
RAMADAN merupakan bulan yang paling mulia dan penuh keberkatan, namun bulan sebelumnya, Rejab dan Syaaban juga tidak kurang pentingnya kerana kedua-duanya memberi ruang kepada umat Islam untuk meningkatkan amal ibadat.
Menurut Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Governan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Islam Melaka (UIM), Muhammad Ilhamuddin Arsad, umat Islam disarankan untuk menggandakan amalan sebagai usaha memperbaiki diri, dan mempersiapkan rohani dan jasmani berikutan ia merupakan waktu yang sangat penting dalam menyiapkan umat Islam untuk menyambut Ramadan.
“Bulan Rejab sebagai contoh, memberi senggang waktu kepada umat Islam mempersiapkan diri secara rohani sebelum kedatangan Ramadan.
“Sebagaimana bulan haram dalam kalendar Islam, bulan Rejab mengingatkan umat Islam untuk menjaga diri daripada dosa dan kemaksiatan serta memperbanyakkan amalan ibadah. Ini adalah masa untuk memperbaharui niat, membersihkan hati dan mensucikan jiwa,” katanya.
Beliau berkata, peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang berlaku pada 27 Rejab yang bersejarah itu menceritakan Nabi Muhammad SAW melakukan perjalanan malam yang luar biasa ke langit.
“Peristiwa ini menunjukkan betapa besar kedudukan bulan Rejab dan juga mengingatkan umat Islam tentang kepentingan solat sebagai tiang agama serta mengingatkan kita untuk memperbanyakkan solat dan menjaga kesucian dalam melaksanakan ibadah,” katanya.
Muhammad Ilhamuddin berkata, bulan Syaaban pula merupakan kemuncak sebelum kedatangan Ramadan dan berfungsi sebagai bulan persediaan untuk menghadapi bulan suci yang akan datang.
“Terdapat banyak hadis yang menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW memberikan perhatian yang besar kepada Syaaban, antara lain dengan memperbanyakkan puasa pada bulan ini.
“Dalam sebuah hadis, daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam bulan Syaaban?”. Nabi SAW bersabda:. “Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan bulan yang diangkat amalan kepada Rabb al-‘Alamin (Allah SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (Hadis riwayat al- Nasa’ie),” katanya.
Justeru itu, ujarnya, amalan berpuasa pada bulan Syaaban adalah latihan penting untuk mempersiapkan tubuh dan jiwa dalam menghadapi kewajipan puasa sepanjang Ramadan.
“Kedatangan Syaaban memberikan peluang bagi umat Islam untuk menyesuaikan diri dengan rutin puasa dan mempertingkatkan ketahanan fizikal serta rohani menjelang Ramadan,” katanya.
Bagi Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr. Siti Aisyah Samudin, selain berpuasa, bulan Rejab dan Syaaban adalah masa yang baik untuk memperbanyakkan ibadah lain seperti membaca Al-Quran, berdoa dan bersedekah sekali gus menguatkan hubungan dengan Allah dan membersihkan diri daripada dosa-dosa kecil yang dapat menghalang keberkatan Ramadan.
“Rejab dan Syaaban juga memberi peluang untuk kita memperbaiki hubungan dengan Allah. Setiap amal ibadah yang dilakukan dengan niat yang ikhlas akan membawa kepada pembersihan hati dan peningkatan keimanan, yang sangat penting untuk menyambut Ramadan dengan penuh keikhlasan dan kesediaan.
“Umat Islam disarankan untuk memperbaiki segala kekurangan dalam ibadah mereka dan bersedia menerima datangnya Ramadan dengan hati yang bersih dan jiwa yang penuh dengan ketakwaan,” katanya.
Siti Aisyah berkata, amalan berpuasa sunat dalam kedua-dua bulan itu membantu mempersiapkan tubuh dan jiwa untuk menjalani ibadah puasa yang lebih panjang seperti yang difardukan di dalam bulan Ramadan.
“Dengan latihan puasa dalam bulan-bulan ini, umat Islam dapat menghadapi Ramadan dengan lebih mudah dan penuh semangat.
“Amalan sunat seperti memperbanyakkan ibadah, berzikir, berdoa dan bersedekah juga dapat membantu umat Islam menghapuskan dosa-dosa kecil dan mempersiapkan diri untuk menerima Ramadan dengan keadaan yang lebih suci dan lebih dekat kepada Allah,” katanya.
Menurut Siti Aisyah, syariat Islam yang wujud dalam perundangan syariah negara turut sama-sama menguatkuasakan peruntukan bagi menjaga kehormatan Ramadan.
“Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] sebagai contoh memperuntukkan berkenaan kesalahan tidak menghormati Ramadan.
“Terma tidak menghormati Ramadan dalam seksyen ini, boleh menyebabkan orang Islam yang sengaja makan di tempat awam pada bulan Ramadan, walaupun mempunyai alasan syarak untuk tidak berpuasa masih boleh didakwa atas kesalahan yang boleh dikenakan denda atau hukuman penjara,” katanya.
Tambah beliau, amalan berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi juga melatih jiwa agar patuh kepada perintah Allah SWT.
“Pelanggaran kewajipan puasa boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap agama Islam. Dalam masa yang sama, hikmah puasa turut membentuk keperibadian mulia seperti kesabaran dan pengendalian emosi,” katanya.
Ujar beliau, Rejab, Syaaban dan Ramadan adalah peluang besar bagi umat Islam meningkatkan amalan serta mendekatkan diri kepada Allah dan undang-undang syariah di Malaysia menyediakan kerangka yang jelas bagi memastikan keharmonian antara pelaksanaan hukum agama dan kehidupan bermasyarakat.
“Oleh itu, adalah penting bagi setiap Muslim memahami dan mematuhi peraturan ini sebagai tanda penghormatan kepada syariat Islam. Tambahan pula, usaha bersama masyarakat dan institusi agama akan memperkukuhkan penghayatan terhadap ajaran Islam,” katanya. – WILAYAHKU