PESERTA Program Pasport 50WP teruja apabila berjaya melaksanakan misi meneroka keunikan dan keistimewaan di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan jayanya.
Salah seorang peserta, Hidayat Masduki, 37, berkata dia bersyukur kerana dapat menyelesaikan tugasan di setiap checkpoint yang ditentukan di ketiga-tiga wilayah tersebut.

“Saya mengambil masa selama satu minggu untuk melengkapkan misi di Kuala Lumpur manakala di Putrajaya pula hanya memakan masa satu hari. Walau bagaimanapun salah satu checkpoint di Putrajaya agak mencabar kerana perlu mendaki bukit.
“Lokasi yang paling menyeronokkan adalah di Labuan kerana ia merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki di sana bersama rakan-rakan. Kami menghabiskan masa selama tiga hari dua malam.
“Ternyata Labuan mempunyai pelbagai destinasi pelancongan yang menarik untuk dilawati,” ujarnya kepada Wilayahku.
Kongsinya bagi menambah lagi keseronokkan dalam melengkapkan misi tersebut, dia membuat satu trademark dengan memakai topi oren untuk bergambar di setiap lokasi checkpoint.
Terdahulu, Program Pasport 50WP yang bermula 1 Oktober sehingga 25 Februari 2024 merupakan inisiatif Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP). Orang ramai khususnya seluruh warga Wilayah Persekutuan dipelawa untuk menyertainya. – WILAYAHKU